Di awal penghijrahan ku dahulu, kami sekeluarga tiba pada musim bunga. Bermaksud, lengkaplah pengalamanku tentang keempat-empat musim di rantauan.
Musim bunga di Sydney sangat terkenal dengan bunga Jacaranda. Selain Jacaranda, kita boleh berkunjung ke Tulip Festival di Canberra iaitu 3 jam memandu dari Sydney. Cherry Blossom pun boleh didapati di Auburn Botanical Garden. Pada bulan Oktober akan bermulanya Daylight Saving Time di mana jam diinjakkan 1 jam lewat bagi menyambut kedatangan musim panas.
Musim panas adalah musim yang di nanti-nanti kan. Pelbagai aktiviti diatur bagi memanfaatkan siang yang panjang dan suhu yang membenarkan pelbagai aktiviti untuk dilakukan. Pada musim ini ramai yang berkunjung ke pantai tambahan pula Sydney mempunyai ratusan pantai yang sesuai untuk surfing, mandi-manda, berkhemah dan berkelah.
Pemandangan musim panas dan juga musim bunga |
Musim luruh terkenal dengan warna-warna daun yang sangat cantik terutama sekali di kawasan luar bandar. Orang kata, musim luruh adalah "second spring". Untuk mendapat impak musim luruh yang lebih cantik, boleh berkunjung ke Breenhold Garden, Mt Wilson. Musim ini menamatkan siang yang panjang kerana berakhirnya Daylight Saving Time di mana jam diinjakkan satu jam awal.
Pemandangan di musim luruh. Dedaunan yang meranum. |
Musim sejuk adalah musim di mana malamnya panjang. Aktiviti terhad kerana cuaca sejuk yang ekstrim dan siangnya pendek. Biasanya kami akan menuju ke Mt Perisher atau Thredbo untuk bermain salji. Tidak banyak aktiviti dapat dilakukan di musim sejuk melainkan bergiat dalam aktiviti hibernisasi. Kedai-kedai mula menjual pelbagai jenis heater dan pakaian yang sesuai bagi menampung kesejukan.
Pemandangan di musim sejuk apabila sunny. *sinar kehidupan* |
Pemandangan di musim sejuk apabila cloudy. *kemurungan* |
Semasa peralihan musim, biasanya hujan silih berganti dengan angin yang kencang. Hujan di sini "showering" dan sekejap-sekejap sahaja. Ditambah pula dengan angin yang kuat menyukarkan pejalan kaki dan pengayuh basikal. Hujan batu kerap berlaku di musim panas. Aku pernah merasai beberapa kali hujan batu di sini.
Setiap musim mempunyai kelebihan dan kekurangan tertentu. Di musim panas, siangnya panjang, kain jemuran cepat kering, tetapi makanan cepat basi. Di musim sejuk, makanan lambat basi, tetapi siangnya pendek dan kain di ampaian lambat kering. Musim yang aku rasa hebat tamparannya ialah musim sejuk. Lemas dan tak bebas untuk melakukan aktiviti harian seperti mandi, ambil wudu', menaip, memasak dan membasuh pinggan. Musim sejuk juga perbelanjaan agak tinggi kerana bil elektrik yang melambung gara-gara penggunaan heater. Digalakkan untuk mengambil Flu Shot untuk mengelak terkena selsema.
Begitulah pengalaman keempat-empat musim dan hari ini, kitaran itu berulang kembali. Moga aku lebih bertahan dan steady di musim sejuk akan datang. Orang bilang, seronoknya musim sejuk. Keseronokan itu cuma beberapa hari. Kalau berbulan, percayalah, hati akan memberontak.
Membilang hari,
Untuk bebas berlari.
Sekian laporan kaji cuaca,
Diyana Farhana Sahariman
Sydney, New South Wales.
No comments:
Post a Comment